Monday, February 28, 2011

MAKNA YANG BERBEZA


Assalamualaikum dan salam 1Malaysia.

Perkataan dalam bahasa Melayu kebanyakkannya mempunyai perkataan yang hampir sama dari segi sebutan dan juga ejaan. Hal ini mungkin menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat sekiranya ingin menggunakan perkataan tersebut. Hal ini juga berlaku kepada saya sendiri sama ingin menyiapkan tugasan Keterampilan Penulis. 

Saya keliru antara perkataan mampan atau mapan. Dalam tugasan tersebut saya ingin menyatakan bahawa seseorang penulis itu sudah mempunyai kedudukan yang kukuh, tetapi saya keliru antara perkataan mampan atau mapan. Untuk merungkai kekeliruan itu, saya telah merujuk Kamus Dewan untuk mengetahui maksud sebenar perkataan tersebut.

Menurut Kamus Dewan (2007 : 989) perkataan mampan bermaksud mampu mengekalkan pencapaian atau prestasi yang baik. Manakala maksud perkataan mapan dalam Kamus Dewan (2007 : 997) ialah tidak berubah-ubah atau mantap, sudah kukuh, tidak goyah (sudah stabil,teguh,dikenali). Untuk lebih jelas boleh dilihat dalam ayat dibawah :

              (i) Pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan bagi mencapai pertumbuhan
                  ekonomi yang mampan.
             (ii) Zaen Kasturi telah diiktiraf sebagai penulis yang mapan.

Selain itu, terdapat satu lagi perkataan yang hampir sama dari segi ejaan dan juga sebutan, iaitu mempan. Menurut Kamus Dewan, mempan bermaksud dapat dilukai (oleh senjata), lut, boleh terbakar (oleh api). Berdasarkan penerangan diatas, jelas menunjukkan walaupun sesuatu perkataan itu hampir sama dari segi ejaan dan sebutan tidak semestinya maksud perkataan tersebut juga sama.

Oleh itu, kita haruslah mengetahui maksud sebenar sesuatu perkataan sebelum menggunakannya. Ini bertujuan untuk mengelakkan daripada berlakunya kesalahan bahasa terutamanya dalam kalangan pelajar serta mahasiswa dan mahasisiwi.

No comments:

Post a Comment