Friday, February 11, 2011

KESALAHAN MAKNA



Assalamualaikum...

Kebanyakkan orang lebih suka mengagak-agak makna sesuatu kata atau menurut kebiasaan pengunaan. Hal ini terjadi kerana tradisi merujuk kepada kamus boleh dikatakan tidak meluas dalam masyarakat. Semalam, semasa saya sedang memilih barang-barang di sebuah kedai berhampiran dengan kampus, seorang wanita memasuki kedai tersebut sambil bercakap dengan kawanya.

Antara butir percakapan wanita tersebut ialah :

Bila dia pulang nanti , kamu bolehlah pergi. Nanti saya tunggu di sana.

Berdasarkan apa yang dicakapkan oleh wanita tersebut, didapati terdapat kesalahan makna. Wanita tersebut menggunakan perkataan “bila” yang merupakan kata tanya, sepatutnya dia harus menggunakan perkataan “apabila” kerana perkataan apabila dapat menjadi penghubung pembentukkan klausa. Ayat yang sepatutnya digunakan ialah:

“ apabila dia pulang nanti, kamu bolehlah pergi. Nanti saya tunggu di sana.”

Antara kesalahan lain yang sering dilakukan ialah :

i. Apa dan Siapa – Kata tanya apa yang digunakan untuk menanyakan benda dan binatang kini ada juga digunakan orang untuk menanyakan nama orang. Hal ini barangkali disebabkan pengaruh bahasa Inggeris. Misalnya What is your name? Diterjemahkan menjadi Apa(kah) nama anda? Yang betul ialah: Siapakah nama anda?

ii. Boleh dan Dapat – Kata bantu modaliti boleh bermaksud ‘diizinkan’ sedang kata bantu modaliti dapat bermaksud ‘berupaya’. Sekarang ini kedua-dua kata tersebut digunakan orang dengan maksud yang sama saja sehingga ketepatan makna menjadi terjejas. Misalnya tidak betul jika kita mengatakan: “Adik saya yang berumur tiga belas tahun boleh memandu kereta”, tetapi betul jika kita mengatakan: “Adik saya yang berumur tiga belas tahun dapat memandu kereta”. Ayat yang pertama itu salah kerana undang-undang tidak mengizinkan kanak-kanak memandu kereta. Ayat kedua betul, kerana biar diizinkan atau tidak, memang ada kanak-kanak yang berupaya memandu kereta.

iii. Banyak dan Ramai – Makna kedua-dua kata ini sering salah ditafsirkan orang. Anggapan kebanyakan orang sekarang ialah bahawa banyak khas untuk binatang dan benda, sementara ramai khas untuk manusia. Sebenarnya kata banyak boleh digunakan untuk manusia, binatang dan benda. Kata ramai pula untuk menunjukkan suasana tempat. Misalnya: Pasar itu ramai; ertinya di pasar itu riuh rendah, sibuk dan sebagainya; mungkin kerana banyak orang di pasar itu.



No comments:

Post a Comment