Tuesday, February 15, 2011

SETIA TAK BERMAKNA BENCI


Salam 1Malaysia


Saya amat tertarik dengan ayat “setia tidak bermakna benci” ketika pensyarah mengutaran ayat tersebut semasa di dalam Sosiolinguistik Melayu pada minggu lepas. Pelbagai pendapat yang dinyatakan oleh rakan-rakan sekelas berkaitan dengan ayat tersebut. 

Namun begitu, makna sebenar disebalik ayat tersebut ialah kita haruslah setia terhadap bahasa kita iaitu bahasa Melayu tetapi tidak bermakna kita benci akan bahasa lain selain daripada bahasa Melayu. Maksud disebalik ayat tersebut amat dalam dan ada benarnya. 

Kita sebagai rakyat Malaysia haruslah setia akan bahasa Kebangsaan kita iaitu bahasa Melayu, tetapi tidak bermakna kita tidak boleh menggunakan bahasa lain. Kita boleh menggunakan bahasa lain selain bahasa Melayu tetapi dalam keadaan dan untuk keperluan tertentu sahaja. Menurut Asmah Hj. Omar, konsep setia bahasa ialah sikap penutur yang positif terhadap sesuatu bahasa serta yakin terhadap kemampuan bahasa berkenaan sebagai alat pemikiran dan alat komunikasi.

Contohnya dalam situasi atau berhubungan dengan kaum atau bangsa lain yang tidak memahami bahasa Melayu. Tujuan kita menggunakan bahasa selain bahasa Melayu ini adalah untuk mewujudkan komunikasi yang baik agar segala maklumat dan maksud yang ingin dinyatakan dapat disampaikan dengan baik. 



Oleh itu, kita hendaklah menerapkan sikap sebegini dalam kehidupan agar bahasa kita semakin berkembangkan dan kesetiaan kita terhadap bahasa kita semakin bertambah dan tidak pula kita membenci bahasa selain bahasa Melayu.


No comments:

Post a Comment