Friday, March 18, 2011

PROGRAM PEMBUDAYAAN BAHASA

Assalamualaikum wbt dan Salam 1 Malaysia

Sebagai orang Melayu, saya berasa begitu berbangga kerana memiliki identiti yang tersendiri. Orang Melayu seharusnya bangga kerana mempunyai bahasa dan budaya yang tersendiri. Bahasa dan budaya ini seharusnya diangkat ke peringkat yang lebih tinggi. Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan untuk mengangkat martabat bahasa Melayu dipersada antarabangsa. Satu lagi aktiviti telah dilancarkan iaitu, Program Pembudayaan Bahasa.

Program ini telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur.
Semasa ucapan perasmian ini, Timbalan Perdana Menteri ada menyatakan bahawa bahasa Melayu amat penting kerana ia menjadi benteng bagi mempertahankan jati diri bangsa. Suasana dan persekitaran yang mewujudkan bahasa Melayu yang ditunjangi dengan nilai kesantunan yang tinggi dan budaya ketimuran. Nilai-nilai yang ada ini dapat dijadikan panduan dan pedoman. 

Globalisasi dan ledakan teknologi maklumat hari ini telah melahirkan dunia tanpa sempadan dan sekatan. Situasi hari ini sedikit sebanyak telah mempengaruhi penggunaan bahasa Melayu yang mana unsur-unsur keunikan serta keagungannya menjadi longgar, rapuh dan mudah dicemari kerana dicampur aduk penggunaannya dengan bahasa-bahasa lain sewenang-wenangnya.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, pencemaran bahasa ini sedikit sebanyak telah menghakis identiti asli bahasa Melayu dan rasa hormat terhadap bahasa Melayu turut pudar kerana dicampur aduk mengikut selera dan kehendak hati. Ini menjadikan bahasa Melayu semacam berada di belakang berbanding bahasa lain.
Oleh sebab itu, pelbagai usaha telah dijalankan oleh pihak kerajaan dan pihak yang lain untuk memasyurkan bahasa Melayu termasuklah program pembudayaan bahasa ini. 

Kita sebagai bangsa Melayu seharusnya menyokong semua program yang bertujuan untuk mengangkat bahasa Melayu supaya terus berkembang.

Thursday, March 17, 2011

BUDI BAHASA

Salam persahabatan...

"51 RINGGIT," tutur seorang gadis juruwang di sebuah restoran kontemporari yang lebih selesa melihat skrin mesin juruwang daripada memandang muka pelanggan yang mahu membuat bayaran.
Dari segi adab, memang tidak sopan. Pelanggan yang sepatutnya dihargai, dilayan seperti orang mahu berhutang pula. Sayang restoran yang gah dengan reka bentuk dalamannya yang serba 'wah', kaku dengan pekerja berminda beku.

Dan senario ini bukan asing di sektor restoran dan perkhidmatan di Malaysia.
Di sebuah pusat beli-belah, seorang juruwang Melayu acuh tak acuh memaklumkan kepada pelanggan supaya menukarkan baucer di kaunter di tingkat bawah. Daripada mimik mukanya, dia kelihatan sedang ada masalah.

Berbeza sekali dengan juruwang asing di kaunter sebelahnya (loghatnya dari Vietnam atau Kemboja) yang bersungguh-sungguh menunjukkan lokasi baucer boleh ditebus.
Di mana budi bahasa dan nilai-nilai murni rakyat Malaysia yang dibanggakan penuh tatasusila, kesopanan dan nilai-nilai orang Timur?


Saya amat tertarik dengan artikel diatas, ini kerana penulis artikel tersebut telah menulis tentang sikap tidak berbudi bahasa dalam kalangan masyarakat Melayu berbanding dengan bangsa lain. Pada pendapat saya apa yang dinyatakan oleh penulis artikel tersebut adalah benar dan tepat. Ini kerana kebanyakkan juruwang di pusat membeli-belah atau mana-mana kedai sekali pun tidak mempunyai budi bahasa yang baik dan tidak menghormati pelanggang yang datang. Layanan yang diberikan juga acuh tak acuh sahaja.

Ini dapat menggambarkan segelintir masyarakat kita pada hari ini tidak ada budi bahasa dan tatasusila orang Timur seperti yang dibangga-banggakan sebelum ini. Dalam kesibukan kita sehari-hari, kita mungkin semakin lupa untuk memupuk ciri-ciri keperibadian luhur, baik untuk diri kita sendiri atau anak-anak. Sebelum budaya masyarakat kita terus merosot, kita harus sedar dan mempelajari serta mempraktikkan semula nilai-nilai dan budi bahasa warisan bangsa kita.


Wednesday, March 16, 2011

DE-MONSTRASI

Salam perpaduan

Saya tertarik untuk membaca satu artikel yang bertajuk 4 Sasterawan Pertahan Interlok. Semasa saya membacanya saya dapati terdapat kesilapan ejaan dalam artikel tersebut. Ini dapat dilihat dalam contoh petikan yang saya ambil daripada berita tersebut :

“Januari lalu, kerajaan memutuskan membuat pindaan pada kandungan novel berkenaan dan akan terus digunakan sebagai teks KOMSAS. Bagaimanapun, masih ada pihak cuba membangkitkan isu itu apabila pertubuhan tidak sah, Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (HINDRAF) mengadakan de-monstrasi di ibu negara bagi membantah penggunaan Interlok di sekolah.”

Kesilapan ejaan ini dapat dilihat pada perkataan demonstrasi. Dalam artikel tersebut, perkataan demonstrasi telah dieja dengan meletakkan tanda sempang iaitu de-monstrasi. Tanda sempang (-) hanya digunakan untuk perkataan yang telah digandakan. Kebanyakkan kata ganda akan menggunakan tanda sempang. Tetapi dalam artikel ini, tanda sempang bukan digunakan untuk perkataan yang digandakan.

Saya tidak mengetahui apa sebenarnya fungsi tanda sempang diletakkan di antara perkataan tersebut. Kesilapan ini tidak seharusnya berlaku, kerana ia melibatkan bahasa dan menjadi tatapan seluruh anggota masyarakat. Pengarang dan juga editor sesebuah akhbar atau majalah seharusnya peka dengan apa yang mereka tulis bukan sahaja dari segi isi tetapi dari segi bahasa dan ejaan juga harus dititikberatkan.

Tuesday, March 15, 2011

RETIBASA

Assalamualaikum wbt pembaca sekalian

Perkataan 'retibasa' atau 'retibahasa' adalah gabungan daripada dua morfem bebas, iaitu reti dan bahasa. Morfem reti, menurut catatan dalam Kamus Dewan (2005: 1326) merupakan bahasa percakapan (lisan) kepada perkataan mengerti. 

Oleh sebab morfem reti berasal daripada perkataan mengerti, dapatlah kita fahami bahawa morfem reti (lisan) juga merupakan morfem erti yang telah dibakukan (sebutan dan tulisan). Kamus Dewan mencatatkan maksud reti atau mengerti sebagai tahu.

Walau bagaimanapun, morfem reti berubah maksud apabila digandingkan dengan basa / bahasa. Morfem basa / bahasa merujuk kepada bahasa. Kamus Dewan (2005: 106) mencatatkan maksud bahasa ialah (a) sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia (antara seorang individu dengan individu yang lain), dan (b) percakapan yang baik, tingkah laku yang baik, sopan santun.

Daripada maksud tersebut, dapat difahami bahawa asal perkataan retibasa / retibahasa ialah mengertibasa / mengerti bahasa. Namun, penutur jati bahasa Melayu tidak menggunakannya. Dari segi susila, maksud perkataan retibasa / retibahasa adalah berbeza dengan maksud perkataan mengertibasa / mengerti bahasa. Perbezaan itu ada kaitan dengan permasalahan / isu. Perkataan atau ungkapan retibasa / retibahasa digunakan dalam situasi tegang seperti marah. 

Dalam situasi ini, maksud retibasa / retibahasa bukan merujuk mengerti bahasa. Sebaliknya, maksud retibasa / retibahasa telah berubah daripada makna asal. Ungkapan tersebut merujuk kepada makna (b).

Kalau anda menerima ungkapan itu daripada seseorang, ungkapan itu bermaksud anda tidak sopan, atau tidak beradab. Kini maksud ungkapan itu merujuk tingkah laku tidak sopan seseorang. 

Contoh ungkapan yang menggunakan perkataan ini tetapi dalam situasi yang tegang dan dengan nada marah.

Awak ni tak retibasa ke? Sudah berpuluh kali saya cakap?


Kesimpulannya, perkataan retibasa / retibahasa bermaksud kelakuan seseorang yang tidak sopan, dan tidak beradab, iaitu tidak bertepatan dengan tatasusila masyarakatnya. Perkataan ini tidak bermaksud tidak faham bahasa.


Monday, March 14, 2011

JEJANTAS TERLALU JAUH JAUH


Bismillahirrahmanirahim...

Semasa saya membaca akhbar berita harian, mata saya tertumpu kepada satu berita yang bertajuk "Jejantas terlalu jauh jauh". Apa maksud sebenar tajuk tersebut? Penduduk kawasan berkenaan sanggup menempah maut dengan menyeberang jalan di lampu isyarat walaupun kemudahan jejantas telah disediakan hanya 50 meter dari situ. 

Mereka bagaikan tidak mempedulikan keselamatan diri kerana meredah jalan ketika puluhan kenderaan melalui kawasan itu. Terdapat sekumpulan pelajar sekolah berdekatan, berani menyabung nyawa melintas jalan ketika kenderaan bertali arus melalui kawan tersebut, hanya disebabkan sikap malas menaiki jejantas.

Apa yang saya perkatakan ini adalah sedikit sebanyak maklumat yang terdapat dalam berita tersebut. Tetapi apa yang saya ingin perkatakan dalam coretan kali ini ialah tentang tajuk berita tersebut yang menggunakan bahasa yang tidak betul. 

Perkataan jauh dalam tajuk berita itu telah digandakan menjadi jauh-jauh tetapi tidak diletakkan tanda sempang (-). Selain itu, perkataan terlalu yang digunakan di hadapan perkataan jauh telah menunjukkan sesuatu keadaan yang sangat jauh atau kata penguat kepada perkataan juah.

Oleh sebab itu, perkataan jauh tidak perlu digandakan menjadi jauh-jauh. Tajuk yang seharusnya digunakan ialah Jejantas terlalu jauh bukannya Jejantas terlalu jauh jauh. Penggunaan sesuatu bahasa itu haruslah betul dan tepat mengikut peraturan yang telah ditetapkan agar bahasa kita terus berkembang.

Gunakanlah bahasa sebaik mungkin.


Friday, March 11, 2011

GURINDAM TONGGAK DUA BELAS


Pembaca sekalian

Pada minggun selepas, semasa kelas EDU, kumpulan yang keempat telah menjalankan tugasan pengajaran makro. Semasa pengajaran mereka menggunakan Gurindam Tonggak Dua Belas. 

Setelah saya membaca dan memahami maksud sebenar yang terkandung dalam gurindam tersebut, saya dapati terdapat banyak nilai-nilai yang terkandung di dalam setiap baris gurindam tersebut.

Tema gurindam ini ialah pembinaan jati diri manusia yang baik dan berguna kepada bangsa dan negara. Nilai-nilai yang terkandung dalam gurindam tersebut seharusnya ada dalam diri kita masing-masing dan menjadi amalan dalam kehidupan kita seharian terutamanya apabila kita berdepan dan berhubungan dengan orang ramai. 

Dengan adanya nilai-nilai ini, segala masalah sosial yang negatif dapat dihindarkan. Selain itu, nilai-nilai ini juga dapat menggambarkan budi bahasa yang terdapat dalam diri kita.

Sama-samalah kita menghayati gurindam ini :

GURINDAM TONGGAK DUA BELAS

Mohd Sidek Mohd Dollah (Mas Adeki)


Hendak pandai menghargai masa,
Jangan dinanti esok lusa.
Ketekunan akan membawa kejayaan,
Kegigihan bekerja dengan keupayaan.
Wajah ceria keseronokkan bekerja,
Usah berduka bermuram durja.
Hidup dalam kemuliaan kesederhanaan,
Bertindak dengan penuh kebijaksanaan.
Ketinggian peribadi jadi amalan,
Ketelusan hati jadi bekalan.
Kekuatan sifat baik hati,
Bertimbang rasa dan bersimpati.



Pengaruh kepimpinan melalui teladan,
Baik buruk jadikan sempadan.
Menjadi kewajipan menjalankan tugas,
Walaupun sederhana tetapi tegas.
Kebijaksanaan berhemah perlu diutama,
Tidak membazir teliti saksama.
Keutamaan kesabaran fikiran tenang,
Perkara susah menjadi senang.
Peningkatan bakat diberi sokongan,
Tunjukkan kebolehan jadikan dorongan.
Nikmat mencipta budaya kreatif,
Kembangkan bakat semoga aktif.







 

Thursday, March 10, 2011

DIRGAHAYU BAHASAKU

Assalamualaikum wbt kepada pembaca sekalian.

Semasa saya sedang membaca sebuah cerpen dalam salah sebuah teks komsas, saya terpandang tajuk teks komsas tersebut. Tajuk teks komsas tersebut ialah Dirgahayu Bahasaku, teks ini digunakan untuk pelajar tingkatan 5. Apa yang ingin saya perkatakan disini ialah tentang tajuk teks tersebut dan yang menjadi tajuk bagi entri saya pada kali ini. Tajuk teks ini diambil sempena tajuk bagi salah sebuah sajak yang terdapat di dalam buku teks ini.

Saya amat tertarik dengan sajak ini kerana pengarang sajak ini menggunakan tema mengangkat martabat bahasa Melayu dipersada antarabangsa dan meletakkan bahasa ditempat yang tinggi serta bertindak sabagai bahasa perpaduan, bahasa ilmu dan sebagainya.
Oleh itu, kita seharusnya mengangkat martabat bahasa kebangsaan kita di peringkat yang tinggi. Walaupun dengan menghasilkan sajak atau puisi. Ini bertujuan untuk mengembangkan lagi bahasa kita agar tidak terus terpinggir. Sama-sama lah kita hayati sajak tersebut :


Dirgahayu Bahasaku

~Ahmad Sarju~


Tempatmu di singgahsana
Hati nurani bangsaku
Warga yang berbudi
Setia dan amanah.
Bahasa itu maruah bangsa
Yang mesti dipelihara martabatnya
Agar tetap kukuh dan ampuh
Malayari lautan bijaksana
Salam ikatan mesra dan teguh.
Cekal dan waja semangat pejuangku
Hak bangsaku memilikimu
Hak bangsaku mendaulatkanmu
Dibumi bertuah ini
Merentas dunai tak bertepi.


Sejarah bangsa mencatatkan kegemilangan
Ke barat ke timur menjalin persaudaraan
Gagah pelautku membelah lautan
Ke utara dan ke selatan bahasaku mencengkam
Dari pulau ke pulau menggilap mutiara silam.
Dirgahayu bahasaku
Di arena antarabangsa suaramu tumbuh
Menusuk kalbu lagu bahasamu
Bahasamu bahasa minda
Mudah akrab dan bertatasusila
Daripada bangsa yang bernama Melayu
Menempa kejayaan di alaf baru.