Tuesday, February 8, 2011

DIALEK MENIMBULKAN KEMESRAAN


 Assalamualaikum...

Dialek merupakan satu bentuk bahasa yang digunakan dalam sesuatu daerah atau digunakan oleh kelas sosial yang berbeza daripada bahasa standard, loghat, pelat daerah, negeri dan lain-lain lagi. Penggunaan dialek merupakan salah satu punca berlakunya pencemaran bahasa. 

 Namun begitu, masalah ini terjadi sekiranya digunakan dalam urusan rasmi atau formal. Sekiranya dalam kelompok atau kumpulan tertentu ia boleh menimbulkan kemesraan, contohnya dalam situasi sosial seperti kawan-kawan yang berasal dari negeri yang sama dan memahami dialek yang digunakan.

Keadaan ini berlaku kepada saya, ini kerana rakan serumah saya majoritinya berasal dari Kelantan dan kami akan menggunakan dialek Kelantan semasa bercakap dan ini membawa kepada keadaan yang lebih mesra dan hubungan menjadi semakin rapat dan senang untuk bercerita sesama sendiri. Ini menunjukkan dalam situasi tidak formal, penggunaan dialek boleh menimbulkan kemesraan sekiranya masing-masing memahami apa yang diperkatakan.

Hal ini kerana, dialek merupakan bahasa halus, sopan dan santai bergantung kepada situasi tertentu. Dialek juga dapat menentukan jarak perhubungan seseorang penutur sama ada akrab atau sebaliknya. Melalui pelbagai dialek yang terdapat dalam masyarakat ini telah membawa kekuatan masyarakat terhadap negeri tercinta dengan menggunakan dialek negeri masing-masing. 

Situasi ini secara langsung telah membawa identiti sesebuah masyarakat di kawasan tertentu seiring dengan latar belakang yang membawa ciri budaya. Oleh itu, masyarakat harus mendasari penggunaan dialek sosial khususnya demi menjalinkan hubungan yang lebih teratur dan mesra sesama sendiri.














No comments:

Post a Comment