Tuesday, March 15, 2011

RETIBASA

Assalamualaikum wbt pembaca sekalian

Perkataan 'retibasa' atau 'retibahasa' adalah gabungan daripada dua morfem bebas, iaitu reti dan bahasa. Morfem reti, menurut catatan dalam Kamus Dewan (2005: 1326) merupakan bahasa percakapan (lisan) kepada perkataan mengerti. 

Oleh sebab morfem reti berasal daripada perkataan mengerti, dapatlah kita fahami bahawa morfem reti (lisan) juga merupakan morfem erti yang telah dibakukan (sebutan dan tulisan). Kamus Dewan mencatatkan maksud reti atau mengerti sebagai tahu.

Walau bagaimanapun, morfem reti berubah maksud apabila digandingkan dengan basa / bahasa. Morfem basa / bahasa merujuk kepada bahasa. Kamus Dewan (2005: 106) mencatatkan maksud bahasa ialah (a) sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia (antara seorang individu dengan individu yang lain), dan (b) percakapan yang baik, tingkah laku yang baik, sopan santun.

Daripada maksud tersebut, dapat difahami bahawa asal perkataan retibasa / retibahasa ialah mengertibasa / mengerti bahasa. Namun, penutur jati bahasa Melayu tidak menggunakannya. Dari segi susila, maksud perkataan retibasa / retibahasa adalah berbeza dengan maksud perkataan mengertibasa / mengerti bahasa. Perbezaan itu ada kaitan dengan permasalahan / isu. Perkataan atau ungkapan retibasa / retibahasa digunakan dalam situasi tegang seperti marah. 

Dalam situasi ini, maksud retibasa / retibahasa bukan merujuk mengerti bahasa. Sebaliknya, maksud retibasa / retibahasa telah berubah daripada makna asal. Ungkapan tersebut merujuk kepada makna (b).

Kalau anda menerima ungkapan itu daripada seseorang, ungkapan itu bermaksud anda tidak sopan, atau tidak beradab. Kini maksud ungkapan itu merujuk tingkah laku tidak sopan seseorang. 

Contoh ungkapan yang menggunakan perkataan ini tetapi dalam situasi yang tegang dan dengan nada marah.

Awak ni tak retibasa ke? Sudah berpuluh kali saya cakap?


Kesimpulannya, perkataan retibasa / retibahasa bermaksud kelakuan seseorang yang tidak sopan, dan tidak beradab, iaitu tidak bertepatan dengan tatasusila masyarakatnya. Perkataan ini tidak bermaksud tidak faham bahasa.


No comments:

Post a Comment