Friday, March 18, 2011

PROGRAM PEMBUDAYAAN BAHASA

Assalamualaikum wbt dan Salam 1 Malaysia

Sebagai orang Melayu, saya berasa begitu berbangga kerana memiliki identiti yang tersendiri. Orang Melayu seharusnya bangga kerana mempunyai bahasa dan budaya yang tersendiri. Bahasa dan budaya ini seharusnya diangkat ke peringkat yang lebih tinggi. Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan untuk mengangkat martabat bahasa Melayu dipersada antarabangsa. Satu lagi aktiviti telah dilancarkan iaitu, Program Pembudayaan Bahasa.

Program ini telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur.
Semasa ucapan perasmian ini, Timbalan Perdana Menteri ada menyatakan bahawa bahasa Melayu amat penting kerana ia menjadi benteng bagi mempertahankan jati diri bangsa. Suasana dan persekitaran yang mewujudkan bahasa Melayu yang ditunjangi dengan nilai kesantunan yang tinggi dan budaya ketimuran. Nilai-nilai yang ada ini dapat dijadikan panduan dan pedoman. 

Globalisasi dan ledakan teknologi maklumat hari ini telah melahirkan dunia tanpa sempadan dan sekatan. Situasi hari ini sedikit sebanyak telah mempengaruhi penggunaan bahasa Melayu yang mana unsur-unsur keunikan serta keagungannya menjadi longgar, rapuh dan mudah dicemari kerana dicampur aduk penggunaannya dengan bahasa-bahasa lain sewenang-wenangnya.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, pencemaran bahasa ini sedikit sebanyak telah menghakis identiti asli bahasa Melayu dan rasa hormat terhadap bahasa Melayu turut pudar kerana dicampur aduk mengikut selera dan kehendak hati. Ini menjadikan bahasa Melayu semacam berada di belakang berbanding bahasa lain.
Oleh sebab itu, pelbagai usaha telah dijalankan oleh pihak kerajaan dan pihak yang lain untuk memasyurkan bahasa Melayu termasuklah program pembudayaan bahasa ini. 

Kita sebagai bangsa Melayu seharusnya menyokong semua program yang bertujuan untuk mengangkat bahasa Melayu supaya terus berkembang.

No comments:

Post a Comment