Wednesday, March 9, 2011

KITA ZAMAN SEKARANG


Pembaca budiman...
Satu petang, sedang saya menunggu monoril di Hentian Sentral Kuala Lumpur, saya terlihat beberapa kain rentang dan juga iklan-iklan yang di tampal di dinding-dinding stesen tersebut. Apa yang dapat saya perhatikan disini, kebanyakan iklan-iklan ini, mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris. Saya amat kesal dengan keadaan ini. Mengapa harus mencampurkan dua bahasa yang berlainan? Apakah motifnya? Adakah dengan mencampuradukkan bahasa ini mampu untuk menarik perhatian orang ramai?

Hemat saya, bahasa Melayu ialah bahasa agung dan bahasa yang tidak harus luput dek zaman. Inilah bahasa yang mana boleh dikatakan bahasa pertuturan satu nusantara kita. Percampuran bahasa ini boleh menyumbangkan gaya bahasa yang tidak sihat dalam kalangan rakyat. Rakyat Malaysia pada masa kini telah disumbat dengan pelbagai bahasa rojak, bahasa sms dan segala jenis bahasa lagi. Hal ini sangat memilukan dan melukakan hati bagi seseorang pencinta bahasa. Negara kita pernah punyai beberapa orang tokoh hebat dalam bahasa, tokoh agung yang mana semangat mereka sangat tinggi untuk memperjuangkan bahasa ibunda kita ini. Tapi, pada zaman sekarang, kita seolah-olah merosakkan segala corak-corak indah yang telah di lakar. Ke mana hilangnya perasaan bangga terhadap bahasa kita?

Bahasa Budaya Bangsa. Sayangi bahasa kita.

Tuesday, March 8, 2011

BAHASA MEMBAZIR ATAU LEWAH


 Pembaca sekalian, ingin saya kongsikan bersama.

Kali pertama saya mendengar dan mengetahui tentang bahasa membazir ialah semasa kelas Sosiolinguistik Melayu. Salah satu daripada kumpulan yang membentangkan tugasan telah menerangkan tentang bahasa membazir. Salah seorang daripada rakan sekelas bertanya tentang maksud bahasa membazir. Setelah ditanya, salah seorang daripada ahli kumpulan tersebut menyatakan bahasa membazir ialah bahasa yang berlebihan atau lewah.

Jika dilihat dari segi maksudnya menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, membazir membawa maksud berlebih-lebihan sehingga terbuang. Manakala maksud lewah atau kelewahan pula ialah terlalu banyak hingga berlimpah-limpah atau berlebih-lebihan sehingga tertambah perkara yang tidak perlu. Berdasarkan maksud yang diperoleh, jelas menunjukkan bahawa maksud membazir hampir sama dengan maksud lewah iaitu sesuatu yang berlebih-lebihan.

Oleh itu, bahasa membazir ialah bahasa yang tidak diperlukan tetapi digunakan secara berlebih-lebihan dalam tulisan dan juga pertuturan. Selain itu, mengikut hukum tatabahasa ayat yang dinyatakan secara berlebih-lebihan ini dianggap lewah dan tidak gramatis.



Monday, March 7, 2011

KATA GANTI NAMA DIRI


Assalamualaikum pembaca sekalian


Awak, engkau, anda, kamu, kalian, tuanku merupakan kata ganti nama diri yang kedua (KGND Ke-2) dalam bahasa Melayu standard. Kata ganti nama ini sering digunakan dalam urusan yang rasmi dan formal. Namun begitu, bagi setiap daerah mempunyai kata ganti nama diri kedua yang berbeza-beza dan berlainan dengan kata ganti nama diri yang kedua dalam bahasa Melayu standard.

Di daearah utara iaitu Perak Utara, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis , kata ganti nama diri kedua yang digunakan ialah “hang”. Manakala di Utara Kedah, Kelantan dan Terengganu menggunakan kata ganti nama diri kedua “mu, demo” dan sebagainya.

Berdasarkan perbezaan yang telah dinyatakan di atas jelas menunjukkan terdapatnya kelainan dalam dari segi penggunaan kata ganti nama diri dalam setiap negeri atau daerah. Perbezaan ini disebabkan oleh dialek yang digunakan oleh sesebuah negari tersebut. 

Ini menggambarkan masyarakat Melayu di Malaysia sangat unik kerana mempunyai nama pengganti diri yang pelbagai.

Friday, March 4, 2011

BAHASA LAMA


Salam hormat pembaca sekalian

Semasa saya sedang membelek-belek buku teks KOMSAS tingkatan Lima yang bertajuk Dirgahayu Bahasaku, saya tertarik untuk membaca bahagian prosa tradisional yang bertajuk Dua Geliga Hikmat karya Ali Haji Ahmad. Cerita ini amat menarik, tetapi saya tidak ingin menceritakan sinopsis cerita tersebut, tetapi ingin berkongsi tentang bahasa yang digunakan dalam cerita tersebut. 

Sesuai dengan bahagian cerita tersebut yang terdapat pada bahagian prosa tradisional, maka ayat dan perkataan yang digunakan juga ialah perkataan dahulu kala atau lebih dikenali dengan bahasa arkaik. Perkataan arkaik ini bersinonim dengan kuno, usang, lama, purba, silam dan primitif. Antara petikan tersebut ialah:

"Alkisah peri mengatakan tatkala Inderaputera beroleh hikmat, dan peri mengatakan tatkala Inderaputera melihat kesaktian Raja Dewa Lela Mengerna."
 Berdasarkan petikan di atas, saya amat tertarik dengan perkataan alkisah. Sekiranya dilihat pada masa sekarang, perkataan ini sudah jarang atau tidak digunakan lagi. Perkataan ini biasanya kita temui pada teks-teks lama seperti yang terdapat pada batu-batu brsurat. Perkataan alkisah tergolong dalam perkataan arkaik iaitu perkataan lama yang jarang dipakai atau sudah kuno dan mati. Selain daripada contoh tersebut terdapat banyak lagi perkataan lain yang tergolong sebagai bahasa arkaik. Antaranya ialah :

Hatta, maka, diceterakan, arkian, syahadan, seraya dan lain-lain lagi

Pada masa kini bahasa arkaik ini sudah jarang digunakan. Mungkin penggunaannya tidak gramatis dalam ayat atau mungkin juga bahasa Melayu telah mengalami perubahan seiring dengan waktu. Oleh sebab itu, bahasa ini jarang ditemui penggunaannya pada masa sekarang dan boleh dikatakan semakin pupus dan hilang dalam dunia Melayu. 

Pada pendapat saya, hal ini merupakan satu kerugian dalam dunia bahasa Melayu sendiri kerana telah mengabaikan bahasa yang digunakan nenek moyang kita pada suatu masa dahulu. Seharusnya kita mengekalkan bahasa ini agar generasi akan datang mengetahui asal-usul bahasa Melayu itu sendiri.

Thursday, March 3, 2011

IKLAN

Assalamualaikum wbt...
Semasa saya sedang membaca surat khabar, saya dapati terlalu banyak ruang yang menyiarkan iklan-iklan. Keadaan ini juga berlaku di siaran televisyen dan juga majalah-majalah. Kebanyakkan iklan yang disiarkan ini menggunakan bahasa yang bersifat imaginatif dan kreatif. Iklan yang disiarkan ini juga menggunakan retorik pemujukan dan bahasa pengaruh yang bertujuan untuk memujuk dan mempengaruhi pengguna. Selain itu, pengguna juga akan disogokkan dengan kata-kata yang indah supaya kita mempercayai setiap barangan atau perkhidmatan yang disediakan. Sesetengah iklan yang disiarkan juga ada yang menggunakan bahasa dan kata-kata yang tidak sedap didengar semata-mata untuk mempengaruhi kita supaya mempercayai perkhidmatan mereka. Contoh bahasa dan kata-kata yang sering digunakan dalam iklan :

Inginkan Bentuk Badan Yang Lansing, Kulit Yang Mantap Dan Putih Gebu?
Kulit Kusam? Parut? Jeragat? Jerawat? Kulit Berkedut?
Penyelesaiannya....

Walaupun bahasa dan kata-kata yang digunakan dalam kebanyakkan ruang iklan adalah bahasa yang indah dan manis, kita sebagai pengguna seharusnya bijak dalam menilai dan tidak mudah terpengaruh dengan kata-kata pemujukan seumpama itu.

p/s* blog saya hanya buat iklan dari nuffnang sahaja...=)



Wednesday, March 2, 2011

SENYUMAN IKHLAS =)

Assalamualaikum...

Saya telah pergi ke sebuah kedai yang berada di hadapan kampus untuk membeli barang-barang keperluan. Setelah saya memilih dan mendapat barang yang dikehendaki saya pergi ke kaunter untur membayarnya. Sepanjang sesi pembayaran tersebut, penjaga kaunter tersebut langsung tidak menunjukkan senyuman dan muka yang manis.

Senyuman adalah ekspresi yang ditunjukkan biasanya ketika kita gembira. Orang tersenyum kerana jenaka. Namun, kadang-kadang orang tersenyum untuk menutup perasaan yang memalukan. Senyum sering digunakan sebagai tanda keyakinan diri, tanda persetujuan atau sebagai tanda kebahagian. Senyuman dapat memperbaiki penampilan dan menambah daya tarikan. 

Walaupun yang tersenyum adalah orang tua atau golongan yeng berumur, namun senyuman tetap menjadikannya lebih baik. Sepertinya mempunyai makna tersendiri, mungkin lebih manis kesannya, lebih indah dan menyejukkan hati. Dengan senyum kita akan lebih dihargai dan disegani. Ini akan dapat menambah suasana lebih hangat dan indah. Kerana ketika melihat orang yang murah senyum, kita akan terasa mudah untuk kita mendekati orang tersebut dan bergaul dengannya.


Senyuman adalah bahasa dunia yang menunjukkan keceriaan dalam diri kita sendiri. Senyum juga adalah perhiasan batin yang dapat membantu mengindahkan perhiasan zahir yang tidak sempurna.
Dari segi sosial, senyuman merupakan suatu bentuk keakraban dalam pergaulan masyarakat. Oleh itu, senyuman adalah penting untuk membentuk sesebuah pergaulan dan hubungan. 

Terutamanya kepada mereka yang berhadapan dan berkhidmat dengan orang ramai seperti penjaga kaunter. Oleh sebab itu, pihak kerajaan telah mengadakan kempen senyum :

Pujangga menyebut :

“Senyuman itu kelopak, ketawa itu bunga yang
sempurna kembangnya”



Willian Shakerspere mengatakan :

"Apa yang anda kehendaki akan lebih cepat diperolehi dengan senyum daripada memotong dengan pedang"

Tuesday, March 1, 2011

IS MY PILIHAN MUKTAMAD

Semasa saya sedang melayari internet untuk melihat berita semasa, saya terpandang pada satu iklan produk kesihatan. Ini dapat dilihat dalam gambar dibawah:



Ini merupakan salah satu daripaa pencemaran bahasa yang berlaku dalam iklan-iklan yang disiarkan. Iklan diatas menggunakan campuran dua bahasa iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Hal ini tidak seharusnya berlaku, kerana ia boleh merosakkan bahasa Melayu dan berlakunya pencemaran bahasa dalam masyarakat.

Saya fikir masih banyak lagi iklan-iklan yang sebegini di merata-rata tempat di negara kita. Ini menggambarkan pemikiran rakyat negara ini yang keliru dengan identiti mereka, sama ada bahasa Melayu atau bahasa Inggeris.
Nama-nama tempat seperti Valencia, Paragon, Height, Country Homes, Cameron Highland dan macam-macam lagi bukannya terletak di US mahupun UK, tapi sebenarnya terletak di negara kita Malaysia yang nyata terdiri daripada tiga kaum terbesar iaitu Melayu, Cina dan India. 

Bangsa Inggeris tidak pun menjadi kaum majoriti di negara kita. Oleh mengapa kita harus menggunakan nama-nama tempat seumpama itu. Gunakanlah bahasa kebangsaan kita iaitu bahasa Melayu dalam apa jua situasi pun. Bahasa jiwa bangsa.